Wednesday, June 25, 2008

YAB Dato’ Ahmad Said ke Wisma Darul Iman (25/03/2008)


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, YAB Dato’ Ahmad Said yang menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar Terengganu daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja kelmarin, memasuki pejabat di Wisma Darul Iman, hari ini ( 25 Mac).

Beliau bersama-sama beberapa pegawai kanan Kerajaan Negeri telah mengadakan solat hajat di tingkat 18 Wisma Darul Iman, sebelum ke tingkat enam yang menempatkan pejabat lama beliau, pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Timbalan SUK (Pembangunan), Dato’ Azlan Dagang dan Timbalan SUK (Pengurusan), Haji Hussain Embong.

YAB Dato’ Ahmad Said mengambil kesempatan dalam kunjungan pertama ke bangunan pentadbiran negeri selepas menerima watikah pelantikan Menteri Besar untuk beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan kerajaan yang menyambut ketibaan beliau.

Dalam sidang media selepas itu, YAB Dato’ Ahmad Said memberi jaminan untuk menunaikan amanah yang diberi kepada beliau sebaik mungkin bagi memastikan kepentingan dan apa yang terbaik untuk rakyat diteruskan.

Hadiah Lumayan Menanti Peserta (24/03/2008)

Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) XII Terengganu bakal menganjurkan pertandingan Pancing Pra-SUKMA XII di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 29 Mac ini (Sabtu) dalam usaha mempromosikan kejohanan SUKMA XII yang bakal berlangsung 31 Mei hingga 9 Jun 2008.

Ketua Pegawai Eksekutif (Ceo), Encik Arpin Draman berkata pertandingan yang akan bermula jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari itu dijangka mendapat sambutan kira-kira 10,000 kaki pancing tempatan dan luar Terengganu.

“Hadiah berupa wang tunai RM20,000 bakal menanti peserta sekiranya berjaya menjadi juara pertandingan itu, diikuti RM5,000 (naib juara), RM3,000 (tempat ketiga), RM1,000 (keempat), RM550 (kelima), RM500 (keenam), RM450 (ketujuh), RM400 (kelapan), RM350 (kesembilan) dan RM300 tempat ke-10.

“Kepada sesiapa yang berminat boleh menyertainya dengan bayaran RM80 setiap satu joran dan menghubungi talian 09-667 2233 untuk sebarang pertanyaan,” katanya

Sementara itu, Encik Arpin berkata, jumlah bilangan atlet dan pegawai pada Sukma XII melebihi sasaran berikutan pertambahan beberapa acara pada temasya sukan dwitahunan itu.

Katanya, lebih 10,000 peserta dijangka menyertai sukan itu berbanding 7,000 sebelum ini. Jawatankuasa Tertinggi Sukma mengesahkan bahawa sebanyak 31 acara termasuk 12 acara pilihan akan dipertandingkan. Jumlah acara ini merupakan terbanyak berbanding beberapa edisi sebelum ini.

“Sukma Terengganu akan menawarkan sejumlah 1,313 pingat iaitu 404 emas, 404 perak dan 505 pingat gangsa.

“Seramai 2,500 orang telah mendaftar untuk menjadi sukarelawan pada temasya tersebut ," katanya ketika dihubungi Warta Hadhari, hari ini (24 Mac)

Jawatankuasa Tertinggi Sukma memutuskan bahawa tarikh akhir pendaftaran atlet dan pegawai bagi Sukma Terengganu 2008 ialah sebelum 31 Disember ini.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan penganjuran sukan itu dengan melayari laman web di alamat www.sukma-2008.com.my.