Sunday, July 6, 2008

04/07/2008 Dua Puluh Empat Guru Ke Persidangan Confratute, USA


Usaha memartabatkan pendidikan di Terengganu tidak pernah terhenti. Sebagai kesinambungan program sejak 2005, seramai 24 guru dari seluruh Terengganu terpilih menyertai Persidangan Confratute di Universiti Connecticut, Storrs, Amerika Syarikat bermula 7 hingga 18 Julai ini.
Delegasi yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, YB Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalannya, YB Mohd Zawawi Ismail bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, malam semalam (4 Julai).
Mereka terdiri daripada 10 guru lelaki dan 14 guru wanita yang mengajar pelbagai subjek termasuk Matematik, Bahasa Inggeris dan Biologi dijangka tiba di universiti itu pada petang 6 Julai (Ahad) dan memulakan bengkel itu sepanjang hari bermula keesokannya.
Program kali keempat itu menjadi momentum Kerajaan Negeri memperkasakan pendidikan menerusi penghantaran guru bagi menimba ilmu di peringkat antarabangsa untuk diserapkan ke dalam pengajaran mereka apabila pulang berkhidmat di sekolah masing-masing.
Langkah proaktif Kerajaan Negeri memilih guru dari Sekolah Imtiaz, Elit dan Primer dilihat mampu mempertingkatkan pengetahuan dan keupayaan guru bagi mendidik para pelajar dalam melahirkan generasi Ulul Albab.
Penolong Setiausaha Kerajaan Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia, Encik Hadi Hassan, berkata program bertujuan untuk melihat perkembangan dalam pembelajaran yang boleh dipelajari dari universiti tersebut menerusi kaedah Schoolwide Enrichment Modul (SEM).
Katanya, kaedah SEM itu sudah 30 tahun dipraktikan di Amerika Syarikat, sementara Terengganu merintis pendekatan yang sama sejak empat tahun lalu bagi memastikan guru yang didedahkan dengan konsep itu mampu menurunkan ilmu kepada pelajar pintar di seluruh Terengganu, sekaligus menjana kedah pendidikan yang lebih menarik dan memberangsangkan minda pelajar.
Seramai 94 tenaga pendidik sudah menyertai program itu sejak 2005. Confratute diambil dari singkatan tiga perkataan iaitu Conference, Fraternity dan Institute dan melalui program tersebut para guru, pentadbir pendidikan dan ahli akademik yang menyertainya berkumpul untuk berkongsi pendekatan baru dalam dunia pembelajaran seterusnya melatih peserta memahami dan menggunakan kaedah SEM.

No comments: