Wednesday, July 9, 2008

Royalti Minyak September Ini Antara Hasil 100 Hari

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyifatkan sambutan 100 hari pentadbiran beliau lebih bermakna dengan hasil dan sumbangan yang sudah direalisasikan beliau dan pemimpin negeri untuk kepentingan rakyat.
Dalam tempoh itu, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan kekusutan dan mendapatkan semula royalti minyak daripada Kerajaan Pusat, di mana Petronas dijangka membuat bayaran pertama kepada Kerajaan Negeri bermula September ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri merancang mengeluarkan 6,000 rakyat yang dikenalpasti miskin tegar dengan menyediakan bantuan daripada hasil perusahaan 50,000 ekar ladang kelapa sawit dan mewujudkan jelapang padi termasuk di 10,000 ekar kawasan tanah terbiar di Setiu.
Setiap pesawah akan diberikan 10 ekar tanah seorang dan memilih sama ada menanam kenaf atau jagung sebelum ditanam padi bagi memberi pendapatan sampingan.
Malah, kejayaan paling manis bagi beliau adalah kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-12, baru-baru ini, di mana lakaran kecemerlangan itu tidak pernah terdetik dalam fikiran setiap individu sebelum temasya sembilan hari itu berlangsung di Terengganu.
“Saya tidak pasti apa kepentingan sambutan 100 hari pentadbiran..Tetapi bagi saya apa yang lebih penting kita Kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat membangun dan mentadbir negeri,” katanya ketika Majlis Pemimpin bersama Rakyat, di Padang Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu, malam semalam (8 Julai).
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh selaku Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, semua pemimpin UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan rakyat setempat.
Menurut beliau, Kuala Terengganu juga bakal menerima satu lagi pembangunan baru apabila siapnya 1,200 unit rumah Kos Rendah dan Mampu Milik di Kampung Hiliran, Kuala Terengganu dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, keluasan rumah 800 kaki persegi mampu memberi lebih keselesaan kepada penghuninya, selain kemudahan kepada rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri.
Dato’ Ahmad berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan rakyat terus mendapat manfaat dan tiada kerajaan yang akan bertindak zalim kepada rakyatnya sendiri.
“Sebagai pengundi, penduduk di Kuala Terengganu perlulah bersatu dan saling memberi sokongan terhadap pemimpin. Perlu ada kerjasama dan tidak mahu wujud `duri dalam daging' serta `menikam rakan dari belakang',”katanya.
Beliau turut mengingatkan kira-kira 3,000 tetamu yang hadir di majlis itu supaya setia kepada Kerajaan BN dan menghargai UMNO yang memberikan peluang kepada orang Melayu menjejakkan kaki ke Universiti (U).
“Sepatutnya semua yang ada pada hari terus setia kepada parti (Kerajaan BN) dan mereka harus sedar, anak mereka masuk U kerana UMNO."
"Janganlah pula ada sikap `kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ sehingga melupakan jasa dan perjuangan mereka yang pernah membantu kita,”katanya.

No comments: