Saturday, July 5, 2008

04/07/2008 >> Terengganu Destinasi Menyelam Bertaraf Dunia


Kerajaan Terengganu mengalu-alukan kedatangan pelancong luar negara, khususnya mereka yang gemar melakukan aktiviti menyelam kerana terdapat banyak lokasi untuk mereka melakukan kegiatan tersebut di pulau-pulau negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, kemudahan untuk kegiatan menyelam disediakan di kebanyakan pulau negeri ini yang merupakan antara lokasi menyelam terbaik di dunia.

“Pulau Redang dan Pulau Perhentian sudah dikenali di peringkat dunia kerana memiliki batu karang yang dikatakan antara tercantik di dunia. Di Pulau Bidong pula terdapat galeri di dasar laut yang menempatkan artifak-artifak unik yang bakal menarik perhatian penyelam-penyelam,’’ katanya ketika merasmikan Malaysia International Dive Expo 2008 di Pusat Dagangan Putra, Kuala Lumpur pada 4 Julai lalu.

Kira-kira 130 ruang pameran melibatkan 120 agensi dari 25 negara mengambil bahagian dalam program bertaraf antarabangsa itu di mana 20,000 pengunjung dijangka melawat pameran tersebut dari 4 hingga 6 Julai.

Datuk Za’abar berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau pelbagai kemudahan yang terdapat di pulau-pulau negeri ini dan mengambil tindakan segera mengatasi segala masalah yang timbul agar kedatangan pelancong tidak terjejas.

Beliau yakin dengan pelbagai program dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri secara berterusan tahun ini, khusus menarik 3.5 juta pelancong ke Terengganu tahun ini, akan tercapai.

No comments: