Wednesday, July 2, 2008

28/06/2008 Tempoh Dua Bulan Kemaskini Data Miskin Tegar

Kerajaan Negeri memberi tempoh dua bulan kepada semua wakil rakyat untuk mengemaskini data miskin tegar di seluruh negeri Terengganu.

Mengikut data yang ada, lebih 6,000 keluarga miskin tegar direkodkan di seluruh negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Kampung Paya Lasir, Kijal, Kemaman, semalam (28 Jun).

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Encik Mustofa Abd Rahman; Pengerusi Aqua Flora Sdn Bhd, Dato’ Hashimuddin Abdul Kadir.

Katanya, beliau telah mengarahkan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) untuk menghantar senarai keluarga miskin tegar kepada semua wakil rakyat untuk tindakan selanjutnya.

“Senarai berkenaan akan diserahkan Upen selewat-lewatnya minggu depan. Saya meminta semua wakil rakyat pergi dari rumah ke rumah keluarga terlibat untuk menyemak data berkenaan tepat atau pun tidak,” tegasnya.

Tambahnya, ianya penting dalam memastikan angka yang dikeluarkan adalah tepat memandangkan terdapat pelbagai angka yang dimaklumkan oleh banyak pihak.

Sekiranya wakil rakyat gagal menyerahkan data tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, kegagalan tersebut direkodkan dalam KPI wakil rakyat berkenaan.

“Tindakan pantas wakil rakyat memberi kesan positif terutamanya kepada parti dan kepada wakil rakyat itu sendiri dan ini menunjukkan wakil rakyat tahu menyelesaikan masalah rakyat sekitarnya..,”jelasnya pada sidang media sejurus selepas majlis berkenaan.

Dalam pada itu, sebanyak 311 unit rumah mampu milik akan dibina menggunakan konsep Industrial Build System (IBS) di tanah berkeluasan 35 hektar yang akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan berbanding 24 bulan jika menggunakan kaedah biasa.

Melalui konsep ini, pemaju, Aqua Flora Sdn Bhd akan membayar RM170 kepada kerajaan merangkumi RM 100 bagi setiap unit rumah, RM 40 bagi mengeluarkan hakmilik dan RM30 bagi mendapatkan kelulusan pelan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

No comments: