Tuesday, July 22, 2008

21/07/2008 >>> Duta Jepun Kagumi Keindahan Alam Terengganu


Duta Besar Jepun, Mr Masahiko Yorie dan Mrs Yoko Horie yang pertama kali menjejakkan kaki ke Terengganu teruja dengan prospek pelancongan dan keindahan alam semula jadi yang terdapat di negeri ini.
Dalam kunjungan tiga hari itu, mereka turut menemui Menteri Besar, Dato’ Ahmad said dalam kunjung hormat lebih sejam yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (21 Julai).
Menteri Besar kemudiannya memberi penerangan mengenai tempat menarik di sekitar Terengganu termasuk usaha Kerajaan Negeri membangunkan sepuluh pulau di Tasik Kenyir.
Selain itu, Mr Masahiko dan Mrs Yoko turut diberi penerangan mengenai kewujudan 340 pulau kecil dan besar di Tasik Kenyir, selain terdapat Santuari Kelah dan Taman Herba di pulau buatan manusia itu.
Pada masa yang sama, Dato’ Ahmad akan memastikan lebih banyak peluang pelaburan dari Jepun akan berkembang di Terengganu memandangkan hanya tiga daripada 1,300 pelaburan Jepun di seluruh negara ini terdapat di Terengganu.
Menteri Besar akan memastikan pelaburan yang bersesuaian dapat dijalankan di negeri ini terutama dalam bidang Petrokimia selepas mengkaji semua faktor dan melihat tindak balas positif pihak kedutaan Jepun yang baru didedahkan dengan potensi pelaburan yang boleh dijalankan di Terengganu .

No comments: