Monday, July 7, 2008

06/07/2008 >>> Santuari Gajah Pertama Di Malaysia

Seramai 14,275 pengunjung melawat Santuari Gajah, di Sungai Ketiar, Terengganu dalam tempoh lima bulan sejak dibuka kepada pengunjung bermula awal Februari lalu.

“Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai Santuari Gajah di Malaysia,” kata Pengurus Projek, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Encik Zulkifli Ayob dalam taklimat di tapak projek, sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib ke Santuari Gajah, di Sungai Ketiar, Terengganu, semalam (6 Julai).

Sehingga kini, terdapat dua ekor gajah iaitu Suria (betina) yang ditangkap di Setiu pada 2005, dan Chalil (jantan) ditangkap di Felda Chalil, Kesedar, Kelantan pada 2003. Kedua-dua gajah ini berusia antara lapan hingga sembilan tahun ditempatkan di sini sejak Januari lalu.

“Gajah liar yang ditangkap dan berusia lima tahun ke bawah tidak memakan masa lama untuk dijinakkan berbanding gajah remaja di mana Chalil dan Suria hanya mengambil tempoh sebulan untuk dijinakkan”.

“Perhilitan bercadang menambah bilangan gajah kepada 20 ekor dalam tempoh lima tahun dalam usaha menarik orang ramai serta pelancong luar negara mendekati dan bermain dengan gajah,” katanya.

Katanya, usaha untuk menarik perhatian gajah liar juga dibuat dengan menanam garam di laluan bawah tanah atau viaducts yang diwujudkan agar memasuki kawasan santuari dan sehingga ini terdapat antara 120 hingga 150 ekor gajah liar di kenal pasti berada dalam kawasan sekitar santuari.

Katanya, keluasan santuari meliputi 15,000 hektar yang diliputi pagar eletrik terletak di sempadan antara Kelantan dan Taman Negara, Pahang dengan jarak 135 kilometer dari Kuala Terengganu menjadi tumpuan ramai terutama pada musim cuti sekolah.

“Perhilitan juga akan mewujudkan menara tinjau untuk kemudahan orang ramai melihat beberapa spesis binatang termasuk rusa, tapir serta gajah yang berkeliaran secara dekat serta mewujudkan kawasan menunggang gajah,” katanya.

Sehingga kini, terdapat lima kakitangan Perhilitan bertugas menjaga kebajikan gajah di santuari ini dengan aktiviti harian, memandi dan memberi makan secara berjadual di mana sehari 80 hingga 90 kilogram makanan seperti roti, dedak, tebu, buahan dan batang pisang.

No comments: